PRU15: Suara kerap hilang – Tun M

in Politik by

Tun M masih sihat dan kuat untuk menjelajah ke seluruh negara bagi tujuan berkempen sepanjang PRU15.

KOTA BHARU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau mesra disapa Tun M memberitahu suaranya kerap kali hilang disebabkan kesibukan berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon Parlimen Langkawi itu berkata, beliau masih sihat dan kuat untuk menjelajah ke seluruh negara bagi tujuan berkempen.

“Semalam saya pi Langkawi balik hari, sebab ada perjumpaan lain di Ampang.

“Hari ini, saudara Ibrahim Ali (Datuk Ibrahim Ali) letak macam-macam program tak bagi saya bernyawa,” katanya berseloroh ketika ditanya media tentang keadaan kesihatan beliau.

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu hadir pada program kebangkitan rakyat Kelantan bersama negarawan di Salor, di sini pada Rabu.

Pada usia 97 tahun itu, beliau sentiasa ditemani isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke mana sahaja.

Dr Mahathir masih mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya pada PRU14.

Beliau akan ditentang calon Datuk Armishah Siraj (BN), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN), Zabidi Yahya (PH) dan Datuk Abd Kadir Sainudin (Bebas).