PRU15: UTM sedia 43 bas hantar 1,600 pelajar pulang mengundi

in Nasional by

Sebahagian daripada 1,600 penuntut UTM sedia menaiki 43 bas yang disediakan untuk membawa mereka pulang mengundi di Dataran Tasik Ilmu UTM, Skudai, Johor Bahru, pada malam Rabu.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan bas ekspres untuk membawa pulang 1,600 penuntutnya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar UTM Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata, 43 bas termasuk tiga bas milik universiti tersebut disediakan untuk membawa pulang semua penuntut terbabit.

“Kesemua penuntut hanya perlu membayar kos antara RM20 hingga RM50 mengikut lokasi kampung halaman masing-masing.

Secara keseluruhan terdapat 43 bas yang digunakan, sebahagiannya bas milik UTM manakala selebihnya bas ekspres komersil yang disewa,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian pergerakan itu, di UTM pada malam Rabu.

Beliau berkata, usaha berkenaan dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) selepas mereka mengumpul nama-nama penuntut yang mahu menggunakan perkhidmatan itu dan pihak UTM tidak mengambil sebarang keuntungan.

Jelasnya, usaha itu bagi membantu penuntut terbabit pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab mengundi mereka pada 19 November ini.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan, Atiqah Alias, 21, amat berterima kasih dengan perkhidmatan yang disediakan kerana memudahkan urusan mereka untuk pulang.

“Selain memudahkan, inisiatif ini juga menjimatkan perbelanjaan penuntut kerana kebiasaannya harga tiket bas untuk pulang ke Pulau Pinang dalam RM75, manakala kapal terbang pula dalam RM150.

“Sebagai seorang penuntut, kos berkenaan agak membebankan, jadi apabila ada inisiatif seperti ini dengan harga tiket bas sebanyak RM35, ia amat membantu,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Bagi Penuntut Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk dan Teknologi UTM, Sim Yee Xuan, 18, yang berasal dari Alor Setar, Kedah pula, gembira dengan inisiatif yang disediakan universiti awam berkenaan.

“Saya rasa gembira kerana UTM ada inisiatif seperti ini, sebab apabila lihat jualan tiket bas secara atas talian banyak yang sudah habis, dan jika ada sekalipun harganya mahal kerana menjadi rebutan.

“Biasanya untuk balik ke Alor Setar, harga tiket bas adalah RM70, tapi melalui inisiatif ini saya hanya membayar RM45 sahaja, jadi adalah lebihan dan saya juga dapat berjimat,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.