Ronaldo mungkin tak lama di Old Trafford

in Sukan by

Ronaldo (dua dari kanan) berdepan kontroversi dengan ten Hag dan United. – Agensi

PEMAIN sensasi, Cristiano Ronaldo berdepan risiko ditamatkan kontrak ekoran dakwaan bahawa dia dikhianati oleh Manchester United.

Kenyataan kontroversi kapten Portugal itu juga boleh menyebabkan dia dihalang daripada menyertai kelab lain.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu mengkritik pengurusnya, Erik ten Hag, Ralf Rangnick dan tokoh senior di Old Trafford dalam temu bual bersama Piers Morgan.

Dia juga menganggap tiada kemajuan yang dicapai oleh kelab itu sejak persaraan Alex Ferguson pada tahun 2013.

Ronaldo sebelum itu dikaitkan dengan perpindahan daripada The Red Devils pada awal musim apabila ejennya, Jorge Mendes mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab termasuk Chelsea dan Bayern Munich, namun tidak berhasil.

United dalam satu kenyataan memaklumkan mengambil maklum liputan media mengenai temu bual Ronaldo.

“Kelab akan mempertimbangkan untuk membuat maklum balas selepas fakta penuh diketahui.

“Fokus kami kekal untuk meneruskan momentum, kepercayaan serta kebersamaan yang dibina dalam kalangan pemain, pengurus, kakitangan dan peminat,” kata United.

Dalam pada itu, peguam bola sepak, David Seligman percaya bahawa United boleh menamatkan kontrak Ronaldo.

Katanya, United juga boleh menghalang Ronaldo daripada menyertai pasukan lain jika berasakan hubungan kelab dengan pemain itu tidak dapat diperbaiki dan Ronaldo telah melanggar syarat perjanjiannya.

“United berkemungkinan mempunyai alasan menamatkan kontrak Ronaldo – pelanggaran material terhadap kewajipan amanah dan keyakinan yang tersirat serta menyatakan terma mengenai menjatuhkan maruah kelab.

“Peraturan dan perundangan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) mengenai pendaftaran pemain tidak semudah itu.

“United boleh menamatkan kontrak tetapi mengekalkan pendaftaran pemain untuk tujuan pampasan jika penamatan disebabkan oleh kelakuan Ronaldo,” ciap peguam itu di Twitternya.