Sukan SEA Kemboja pentas kebangkitan atlet negara

in Sukan by

Suhardi bersama para atlet Sukan SEA Kemboja pada Perhimpunan Atlet Fasa 1 di MSN, Bukit Jalil pada Rabu. – Foto Bernama

MAJLIS Sukan Negara (MSN) optimis kontinjen negara mampu meraih pencapaian lebih baik pada temasya Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja berbanding edisi di Hanoi, Vietnam, Mei lepas.

Timbalan Ketua Pengarah MSN (Strategik), Suhardi Alias berkata, kontinjen negara telah membuat persediaan awal termasuk melaksanakan pemilihan atlet pada Mac 2020 bagi mengharungi temasya dwitahunan dijadual berlangsung 5 hingga 17 Mei 2023.

“Kita dah sedia dari awal, enam bulan dari sekarang bukan tempoh panjang namun kami yakin para atlet mampu menghasilkan sesuatu yang membanggakan negara (pada Sukan SEA 2023),” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Atlet Fasa 1 Sukan SEA Kemboja 2023 di Kuala Lumpur pada Rabu.

Bagaimanapun, Suhardi menjangkakan sasaran pingat hanya dapat diumumkan sebulan sebelum edisi ke-32 itu bermula.

Pada edisi ke-31 di Hanoi, Malaysia berjaya mengatasi sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa dengan merangkul 39-45-90 pingat, sekali gus meraih tempat keenam keseluruhan.

Dalam pada itu, beliau berkata, perhimpunan atlet hari ini lebih tertumpu untuk memberi motivasi selain menerangkan aspek sains sukan bagi membantu atlet bersedia menggalas tugas negara di Kemboja nanti.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin berkata, langkah menonjolkan atlet bawah 23 tahun dalam kategori B dibuat bagi memberi pendedahan berguna kepada mereka memandangkan kelompok tersebut dijangka menjadi sandaran utama negara pada dua edisi Sukan SEA seterusnya iaitu di Bangkok (2025) dan Kuala Lumpur (2027).

“Ini juga merupakan langkah terbaik dibuat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyediakan kontinjen terbaik pada Sukan Olimpik 2024 di Paris dan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles dengan kemungkinan atlet bawah 23 tahun ketika ini berpotensi raih pingat,” katanya.

Bulan lepas, mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM menetapkan hanya atlet berusia 23 tahun ke bawah boleh mewakili negara dalam Kategori B, sekali gus menyaksikan tiada lagi atlet ‘veteran’ beraksi di Sukan SEA Kemboja tahun depan tanpa melepasi had kelayakan Kategori A, iaitu kedudukan tiga terbaik di Asia Tenggara.

Bagi temasya antarabangsa, semua kos penyertaan bagi atlet Kategori A ditanggung MOM, manakala kos bagi Kategori B ditanggung atlet atau persatuan sukan terlibat, tetapi dibayar balik jika mereka berjaya membawa pulang pingat. – Bernama