Formula pulih kembali ekonomi Malaysia

in Nasional by

SHAH ALAM – Bajet 2023 menyediakan formula kepada negara untuk merancang asas diperlukan bagi memastikan rakyat tidak menerima kesan teruk ekoran kemelesetan ekonomi global pada tahun hadapan.

Selain memiliki inisiatif yang disifatkan agak menyeluruh terhadap pelbagai kumpulan masyarakat, ia juga meneruskan perancangan pemulihan ekonomi negara yang dilaksanakan sebelum ini.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara, Dr Firdausi Suffian berkata, kesinambungan pelaksanaan pemulihan itu sangat penting memandangkan situasi ekonomi negara yang masih belum kembali kepada tahap sebelum pandemik Covid-19.

Menurutnya, terdapat juga beberapa inisiatif penting dimasukkan dalam bajet itu khususnya berkaitan aspek kebajikan rakyat seperti peningkatan gaji penjawat awam dan pertambahan jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

“Selain itu, Bajet 2023 menyediakan peruntukan yang lebih banyak kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan usaha ke arah kesamarataan ekonomi dapat dicapai di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

**media[1987438]**

Bajet 2023 yang dibentangkan kerajaan di Parlimen pada 7 Oktober lalu, merangkumi peruntukan terbesar dalam sejarah negara dengan jumlah RM372.3 bilion, iaitu peningkatan RM40.2 bilion berbanding Bajet 2022 sebanyak RM332.1 bilion.

Dalam Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan dimaklumkan merancang untuk memperuntukkan sebanyak RM11.7 bilion untuk dua negeri itu berbanding RM9.8 bilion dalam bajet tahun sebelumnya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohamed Tawfik Yaakub berpandangan Bajet 2023 yang telah dibentangkan secara umumnya berupaya menyentuh kesemua golongan dalam negara.

Bagaimanapun Mohamed Tawfik menyifatkan belanjawan berkenaan boleh ditambah baik melalui manifesto dikemukakan oleh BN kerana ia perlu meningkatkan pengagihan secara berfokus kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat terutamanya golongan miskin tegar.