'Kulit' baharu Harimau Malaya

in Sukan by

Hamidin (tengah) bersama barisan pegawai FAM dan pemain Harimau Malaya ketika Majlis Pelancaran Jersi Harimau Malaya di Football Republic, Sunway Piramid pada Khamis. -Foto: FB FAM

PASUKAN bola sepak kebangsaan Malaysia tampil memperkenalkan jersi terbaharu edisi 2022-2024 daripada Nike yang bertemakan ‘Demi Lencana Di Dada’ iaitu semangat juang bermain untuk negara mengatasi segalanya.

Jersi utama atau jersi ‘home’ Harimau Malaya edisi kali ini kekal menggunakan warna kuning sebagai warna dominan dengan hanya bahagian kolar bulatnya berwarna hitam manakala jersi kedua atau jersi ‘away’ mengekalkan warna hitam sebagai warna dominan.

Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, meskipun reka bentuk jersi ‘home’ kali ini dianggap sebagai terlalu ringkas oleh peminat tempatan, namun ia sebenarnya membawa maksudnya yang tersendiri.

“Kalau jersi ‘home’ kita sebelum ini berkolar dan mempunyai sedikit warna hitam di lengan dan bahagian sisi, jersi ‘home’ kali ini tampil lebih unik sebenarnya apabila keseluruhan jersi berwarna kuning dan hanya di bahagian kolar bulatnya sahaja berwarna hitam.

“Inilah sebenarnya naratif yang cuba disampaikan iaitu segala fokus pada jersi ‘home’ kali ini bukan kepada corak atau reka bentuknya tetapi tertumpu kepada sifat eksklusif logo FAM itu sendiri untuk membawa mesej mereka (pemain) bermain ‘Demi Lencana Di Dada’.

“Bagi jersi ‘away’ pula, sama seperti edisi 2020-2022 apabila warna hitam sebagai warna dominan mula diperkenalkan, ia dikekalkan sebagai warna jersi ‘away’ kali ini kerana kita mahu warna tradisi hitam dan kuning sentiasa ada biarpun pada jersi kedua.

“Semoga dengan jersi baharu ini, ia akan memberikan semangat baharu kepada para pemain Harimau Malaya apabila mereka beraksi di pentas Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Disember ini, seterusnya pada Piala Asia 2023 di Qatar dan juga perlawanan-perlawanan antarabangsa lain, termasuk juga untuk pasukan-pasukan kebangsaan yang lain iaitu pasukan wanita, remaja, futsal dan juga bola sepak pantai,” jelasnya.

Pada masa sama, Hamidin turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Nike yang tetap setia bersama Harimau Malaya dalam tempoh lebih 15 tahun.

“Terima kasih kepada Nike yang tetap setia bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 15 tahun ini (sejak 2007) yang mana sudah tentu jersi edisi 2022-2024 ini akan tinggi nilainya kerana ia bakal ‘beraksi’ di pentas Piala Asia 2023,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Nike Asia Tenggara dan India, Chris Madsen pula berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat terus bersama FAM dan Harimau Malaya yang mana ini merupakan jersi edisi kesembilan Nike bersama pasukan kebangsaan Malaysia bermula dari tahun 2007.

Jersi baharu Harimau Malaya ini sudah boleh didapati mulai Khamis, 17 November 2022 secara eksklusif di Football Republic Sunway Pyramid dan secara dalam talian di www.nike.com/my dan Nike App.

Ia disusuli penjualan secara menyeluruh di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic seluruh negara serta di www.al-ikhsan.com bermula minggu depan iaitu pada Khamis, 24 November 2022.

Jersi ‘home’ dan ‘away’ edisi 2022-2024 ini, masing-masing dijual pada harga RM299 sehelai.