Penambahan pengundi jadi pola baharu bayangan PRU15

in Nasional by

Noor NirwandyNoor Nirwandy (tengah) ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Bahang Putrajaya Makin Terasa’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

SHAH ALAM – Faktor penambahan pengundi menjadi pola baharu dalam memberi bayangan parti mana yang akan meraih sokongan dan membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ia berikutan lebih 20 juta rakyat dijangka akan turun mengundi pada PRU15 dimana angkat tersebut lebih tinggi berbanding jumlah pengundi pada PRU14 iaitu hampir 15 juta.

Ujar beliau, perbezaan jumlah angka yang ketara itu dijangka memainkan peranan penting dalam memberi sedikit sebanyak petunjuk kepada ramalan PRU kali ini.

“Tempoh penghujung 48 jam ini mungkin kita boleh melihat pola-pola yang berkemungkinan akan berlaku.

“Kita juga ada pola-pola yang akan menyokong pola-pola perkara berkaitan yang perlu kita lihat untuk mendapatkan bayangan sebenar contohnya daripada tidak ada calon bebas, sekarang ada 108 calon bebas dan juga ada lebih kurang 27 parti yang bergabung.

“Jadi itu semua kita melihat dan akan olah secara konsep, kualitatif serta data statistik. Analisa-analisa ini berupaya untuk memberi sedikit bayangan tetapi tidak secara spesifik,” katanya.

**media[1988767]**

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Bahang Putrajaya Makin Terasa’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Program yang dihoskan Fahiz Ariff itu turut menampilkan Pakar Perlembagaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan calon Warisan Parlimen Kepong, Shaun Young.

Ulas Noor Nirwandy, bentuk pengundian dalam kalangan pengundi juga antara pola yang dapat mempengaruhi bayangan PRU15.

“Adakah (PRU15) akan berlaku satu bentuk pengundian yang melebihi 82 peratus semasa PRU14 ataupun ia akan mengikuti pola yang dijadikan sebagai rujukan terdekat seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor iaitu (pengundian) lebih kurang 60 hingga 70 peratus.

“Jadi dua pola ini juga akan menentukan bayangan (PRU15) itu, bagaimana undi itu akan terbentuk dan bagaimana ia akan dibuang,” ujarnya.