PRU15: Amanah yakin menang lebih 11 kerusi

in Politik by

Mohamad Sabu

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin menang lebih 11 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Presidennya, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, keyakinan itu bertambah selepas sekumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Di Selangor kita akan menang semua (enam kerusi), saya yakin Amanah boleh menang banyak (keseluruhan), Insya-ALLAH, lebih daripada 11 kerusi,” katanya kepada Bernama selepas program Jelajah Harapan Selangor di Taman Sri Muda di sini malam Khamis.

Amanah meletakkan calon untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen di seluruh negara dalam pilihan raya umum kali ini.

Mohamad berdepan persaingan lapan penjuru dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja pada PRU15.

Beliau ditentang calon Barisan Nasional, D Kajendran, Mohamed Diah Baharun (Perikatan Nasional), Sarah Afiqah Zainol Arif (Parti Rakyat Malaysia), Fahmi Bazlan Muda (Pejuang) dan tiga calon Bebas, P Raveetharan, S Surendhar serta K Kumar. – Bernama