PRU15: Felda, Felcra semakin terbuka, bukan lagi benteng UMNO

in Politik by

Sahruddin – Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

PAGOH – Sokongan orang Melayu di kawasan-kawasan Felda dan Felcra dilihat bukan lagi ‘benteng pertahanan’ kepada UMNO dan BN.

Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, ini kerana kebanyakan mereka dilihat semakin terbuka kepada parti-parti lain termasuk menyokong kerja keras Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh.

“Lihatlah di Pagoh ini di Felda dan Felcra kebanyakan menyokong Tan Sri Muhyiddin dengan kerja keras Tan Sri Muhyiddin dan kami (PN) di Pagoh.

“Saya cukup yakin Tan Sri Muhyiddin akan menang di Pagoh,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pagoh.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, momentum sokongan pengundi terhadap PN semakin meningkat dan sangat positif.

Perkara itu diakui sendiri oleh Sahruddin yang melihat program-program Muhyiddin di Pagoh sangat memberangsangkan.

“Saya ucap terima kasih pada seluruh pengundi di Pagoh.

“Buktinya program Muhyiddin bersama dengan masyarakat Cina di Bukit Pasir, kehadiran dalam 200 hingga 250 orang,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pagoh.

Tambahnya lagi, ceramah-ceramah kelompok juga mendaoat sambutan luar biasa daripada pengundi Cina.

“Jadi kita lihat masyarakat Cina akan membantu dan sokong Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Dalam pada itu, Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negara (DUN) Bukit Kepong berkata, bagi masyarakat Melayu, mereka lebih mengenali Muhyiddin kerana mengenang jasa dan sumbangan Pengerusi PN itu di Pagoh.

“Jadi saya dapat pergi ke warung dan pergi buat ceramah-ceramah kelompok kecil-kecilan, nampak positif.

“Contoh paling nyata adalah program di pusat daerah mengundi (PDM) kami, mendapat sambutan baik daripada kaum wanita, mahupun kaum lelaki.

“Jadi kami cukup yakin momentum sekarang memang masyarakat Melayu, Cina, India memang pro kepada Muhyiddin,” katanya.