PRU15: Jumlah kenderaan meningkat di lebuh raya utama

in Nasional by

Aliran trafik ke selatan kelihatan lancar namun bilangan kenderaan mulai meningkat ketika tinjauan di Plaza Tol Sungai Besi susulan ramai yang pulang ke kampung halaman bagi menjalankan tanggungjawab sempena PRU15 Sabtu ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Bilangan kenderaan di lebuh raya utama seluruh negara semakin bertambah setakat jam 10 malam ini susulan orang ramai pulang ke destinasi masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran sesak dikesan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hala utara di beberapa kawasan terutamanya dari Slim River ke Sungkai sepanjang 7.4 kilometer (km) dan Tapah ke Gopeng sepanjang 6.4km.

Menurutnya, kesesakan turut berlaku di Senai ke Kulai, Bukit Lanjan ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Rawang dan Bidor ke Tapah.

“Sementara itu, di Senai ke Skudai pula sebuah kemalangan dilaporkan berlaku di KM20.6 menyebabkan kesesakan sepanjang 5.5km walaupun tiada lorong yang terhalang.

“Kemalangan dari Bandar Ainsdale ke Nilai yang berlaku lewat petang tadi telah selesai dan trafik kembali lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Tambahnya, trafik di PLUS arah selatan pula perlahan di beberapa kawasan antaranya di Sedenak ke Kulai dan Putra Mahkota ke Nilai ekoran kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

“Sedikit kesesakan turut dikesan di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) menghala masuk Malaysia iaitu di Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ketika dihubungi berkata, kesesakan trafik signifikan berlaku dari Gombak ke Bukit Tinggi sepanjang 14.6km, Kuantan ke Lentang (4.5km) dan Lentang ke Bentong (2.8km)

Bilangan kenderaan masuk ke lebuh raya utama seluruh negara dijangka bertambah mulai tengah malam ini susulan tawaran tol percuma oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya sempena PRU15 bermula jam 12.01 tengah malam 18 November sehingga jam 11.59 malam 19 November. – Bernama