PRU15: Tamatkan tradisi mainkan sentimen kritik

in Politik by

Shaun ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Bahang Putrajaya Makin Terasa’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

SHAH ALAM – Parti Warisan (Warisan) membawa misi untuk menamatkan tradisi politik yang sering memainkan isu-isu sentimen kritik sebaliknya mengutamakan solusi kepada permasalahan rakyat.

Calon Warisan Parlimen Kepong, Shaun Young berkata, penduduk Kepong memberi respons dan sambutan positif kepada Warisan meskipun parti tersebut masih baru lagi di Semenanjung.

“Kali ini adalah kali pertama mereka dapat pilihan yang lain daripada tradisi (parti-parti lama).

“Kita ketengahkan perpaduan. Sudah 60 tahun kita merdeka, kita boleh nampak ceramah-ceramah tempatan memainkan sentimen kritik.

“Cukuplah. Biar kita tawarkan apa yang boleh kita buat untuk Kepong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Bahang Putrajaya Makin Terasa’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Program yang dihoskan Fahiz Ariff itu turut menampilkan Pakar Perlembagaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Dalam pada itu, Shaun berkata, Warisan turut berdepan dengan cabaran dalam memilih calon yang sesuai untuk membawa pembaharuan dan memberi impak kepada rakyat.

“Untuk Semenanjung, pimpinan pusat membuat satu hala tuju bukan atas dasar sesuka hati sahaja.

“Presiden kami, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pimpinan pusat telah mengkaji dengan mendalam untuk memilih calon daripada 300,000 ahli.

“Bayangkan macam mana nak pilih sebab Presiden kami kata nak pilih calon ini adalah amat susah,” ujarnya.