PRU15: Wetrom enggan digelar 'giant killer'

in Politik by

Wetrom bertemu masyarakat setempat ketika meninjau Tamu Sumangkap di Kota Marudu.

KOTA MARUDU – Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda yakin akan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Kota Marudu menerusi 70 peratus sokongan daripada rakyat di kawasan berkenaan.

Beliau yang enggan mengakui sebagai ‘giant killer’ atau bakal menumbangkan satu nama besar di Kota Marudu berkata, kemenangan yang akan dikecapinya itu nanti adalah demi masa depan rakyat di Parlimen berkenaan.

“Setakat ini, sambutan rakyat dengan semangat pembaharuan di Kota Marudu itu amat kuat dan saya yakin sekarang ini rakyat di peringkat terakhir untuk menyimpulkan bahawa perjuangan kita ini adalah untuk masa depan Kota Marudu untuk lima tahun ke depan. Saya melihat perkembangan yang amat positif, jadi sokongan dalam keadaan 70 peratus ke atas.

“Saya tidak akan sebutkan ‘giant killer’ tetapi demi untuk masa depan Kota Marudu, saya yakin kita akan dapat menukar keadaan ini dan yakin akan menang dalam pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Melangkap di sini pada Khamis.

Beliau berkata, walaupun sudah bertukar parti namun beliau yakin masih mampu mendapat sokongan daripada akar umbi di Parlimen berkenaan.

“Parti (KDM) ini merupakan parti lokal dan semangat rakyat di bawah pun begitu, rakyat mahu sesuatu yang baharu.

“Jadi saya ingat parti ini adalah satu parti yang baik kerana ia parti tempatan, pelbagai bangsa, jadi ini yang rakyat boleh terima kita,” katanya yang sebelum ini pernah menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam PRU15 kali ini, Parlimen Kota Marudu menyaksikan enam pertembungan dan Wetrom dilihat memberi saingan yang sengit kepada penyandang kerusi Parlimen berkenaan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) sudah menjadi Ahli Parlimen di Kota Marudu sejak PRU11 pada 2004 dan pada PRU14, beliau berjaya mengekalkan kerusinya dengan bertanding atas tiket BN menerusi sebanyak 13,033 undian dengan jumlah majoriti sebanyak 1,774.

Wetrom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau juga akan berdepan empat calon lain iaitu Mohd Azmi Zulkiflee daripada Pejuang Tanah Air (Pejuang), Sharizal Denci daripada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Jilid @ Zainuddin Kuminding daripada Parti Warisan (Warisan) dan calon Bebas, Norman Tulang.