Tanah runtuh: Laluan Mantin-Seremban ditutup sementara

in Edisi by

SEREMBAN – Kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di Jalan Mantin Batu 8 mengakibatkan laluan Mantin-Seremban bagi kedua-dua arah terpaksa ditutup sementara bagi kerja pembersihan serta pemotongan batang pokok besar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin, Priscilla Carol Thomas berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.06 pagi tadi dan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan hanya menyebabkan laluan utama terputus iaitu bagi kedua-dua arah Mantin-Seremban yang melalui Bukit Mantin terhalang,” katanya.

Katanya, anggota turut membuat pemantauan sekiranya terdapat pergerakan tanah yang boleh mengakibatkan kejadian tanah runtuh berulang.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan juga ke lokasi kejadian bagi membantu pembersihan tanah dan batu yang runtuh di lokasi kejadian, manakala penduduk setempat dinasihatkan berjaga-jaga di kawasan tersebut. – Bernama