Barangan makanan diagih ke 156 pangkalan hadapan di Pahang

in Edisi Pahang by

Zulkhairi

KUANTAN – Sebanyak 222.5 tan barangan keperluan makanan kering diagihkan ke 156 pangkalan hadapan di seluruh Pahang sebagai persediaan menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, agihan barangan keperluan makanan itu dilakukan secara berperingkat telah bermula sejak 22 Oktober lalu dan sudah selesai pada awal November lalu.

“Terdapat sembilan jenis barangan disediakan seperti beras, gula, garam, kopi, teh, biskut, minyak masak, makanan dalam tin dan kari ayam dalam tin sudah diagihkan di 156 pangkalan hadapan.

“Berdasarkan pecahan pengkalan hadapan di negeri ini yang akan menerima barangan tersebut iaitu 33 di Temerloh, diikuti Jerantut (19), Kuantan (18), Lipis (15), Pekan (14), Rompin (14), Maran (12), Bera (12), Raub (11), Bentong (lima) dan Cameron Highlands pula membabitkan tiga pengkalan hadapan,” katanya pada Jumaat.

Beliau menjelaskan semua barangan makanan yang diberi kepada pengkalan hadapan akan diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk kegunaan mangsa banjir dan mangsa-mangsa yang terkesan.

Katanya, sebanyak 808 PPS disediakan bagi menempatkan mangsa banjir, selain sekolah turut dijadikan PPS ialah balai raya, dewan serba guna dan balai penghulu.

Zulkhairi menambah, selain Sekretariat Bencana iaitu Angkatan Pertahanan Awam APM, pemimpin masyarakat, sukarelawan JKM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan membantu dalam pengurusan PPS kelak.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan jabatan turut menyediakan aplikasi yang menyediakan maklumat bencana melalui InfoBencanaJKM.

“Terdapat juga statistik dan fasiliti yang disediakan pihaknya bagi menghadapi MTL,” jelas beliau lagi.