Ismail Sabri miliki kelebihan, kata penganalisis

in Nasional by

Ismail Sabri dilihat mempunyai kelebihan dalam memastikan kesinambungan­ perancangan pemulihan ekonomi negara.

SHAH ALAM – Agenda pemulihan khususnya dalam memastikan kemakmuran dan pembangunan ekonomi negara perlu menjadi agenda utama oleh mana-mana kerajaan yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkara itu perlu diberikan keutamaan memandangkan negara bakal berhadapan keadaan ekonomi mencabar pada tahun hadapan.

Beliau berkata, sebagai pemimpin yang menerajui negara dalam kerajaan sebelum ini, Ismail Sabri dilihat mempunyai kelebihan dalam memastikan kesinambungan perancangan pemulihan ekonomi negara.

“Satu kelebihan ada pada Ismail Sabri ialah kerana beliau berada dalam kerajaan sebelum ini. Maka, kalau kembali menjadi kerajaan, beliau boleh meneruskan perancangan sebelum ini, tidak perlu bermula dari kosong.

“Kita juga dapat mengatakan bahawa beliau juga boleh menambah baik terutama perancangan dalam Bajet 2023 dan apa yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ahmed juga tidak menafikan bahawa perancangan dilakukan kerajaan sebelum ini sememangnya memiliki potensi untuk membolehkan pemulihan negara dari segi ekonomi.

“Tetapi isu saya lihat berlaku sebelum pembubaran Parlimen itu ialah disebabkan kedudukan kerajaan yang tidak stabil dengan saiz kabinet yang dilihat terlalu besar serta diisi bukan individu benar-benar layak untuk memuaskan hati banyak pihak.

“Sebab itu Ismail Sabri pernah berkata, selepas ini beliau mahu mengecilkan saiz kabinet supaya lebih cekap dan dibarisi orang benar-benar layak serta mampu menerajui kementerian untuk memfokuskan kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya.