LKIM bantu 24 nelayan terjejas banjir

in Edisi Perak by

Ahmad Aizuddin (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada ahli Persatuan Nelayan Matang pada Program Jelajah Prihatin LKIM Bersama Nelayan Sungai Matang di Matang pada Jumaat.

BUKIT GANTANG – Seramai 24 nelayan yang terjejas akibat banjir di Matang dan Sungai Tinggi menerima bantuan bencana bernilai RM300 setiap seorang.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, bantuan melalui Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan bertujuan meringankan beban mereka akibat kerosakan harta benda akibat banjir.

“LKIM juga akan memberikan bantuan untuk membaikpulih kerosakan rumah dan bantuan tersebut akan diberikan selepas kerosakan itu dinilai oleh pegawai LKIM,” katanya dalam sidang akhbar pada Porgram Jelajah Prohatin LKIM Bersama Nelayan Sungai Matang di Matang pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, Syed Abu Hussin berkata, LKIM telah mengambil melangkah awal dengan melantik syarikat pembekal solar bagi pemasangan di atas bumbung bangunan di seluruh negara tahun depan.

Beliau berkata, syarikat terbabit sedang membuat kajian mengenai kesesuaian bumbung dan kedudukan bangunan sebelum solar dipasangkan.

“Kita bagi mereka gunakan bumbung dan bangunan, kita akan dapat menjimatkan penggunaan bekalan elektrik di antara 20 hingga 30 peratus,” katanya.

LKIM mempunyai 350 kompleks pendaratan dan 48 buah kompleks LKIM.

Sementara itu, mengulas mengenai nelayan mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Kuala Kurau pada Rabu, beliau menjelaskan pihaknya sedang menunggu maklumat berhubung perkara itu.

“Saya sedang mendapatkan maklumat dan akan berjumpa dengan Maritim Malaysia. Selepas mendapatkan penjelasan baharulah saya akan membuat penjelasan kepada ahli persatuan nelayan terbabit,” katanya.

Dalam kejadian itu, sekumpulan nelayan di Kuala Kurau mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan Kompleks Maritim Malaysia di Kuala Kurau sebagai membantah tindakan Maritim Malaysia menahan dan merampas bot pukat kenka di sekitar perairan Kuala Kurau.