Mane terlepas aksi Piala Dunia

in Sukan by

Sadio Mane – Foto AFP

BINTANG Senegal, Sadio Mane sah tidak akan beraksi di Piala Dunia Qatar 2022 meskipun pembedahan kaki yang dilakukan sebelum ini berjalan dengan sempurna.

Bayern Munich dalam satu kenyataan memberitahu, pemain berusia 30 tahun itu selamat menjalani pembedahan untuk menyambung semula tendon pada kepala tulang fibula kanannya dan perlu menjalani proses pemulihan.

“Disebabkan itu, penyerang Bayern berkenaan tidak lagi boleh bermain untuk Senegal di Piala Dunia dan akan memulakan proses pemulihannya di Munich beberapa hari akan datang,” kata Bayern.

Sebelum ini, doktor pasukan Senegal, Manuel Afonso mengumumkan Mane terpaksa diketepikan sekali gus menutup peluang untuk dia bermain sekurang sekurang-kurangnya sebahagian kempen Piala Dunia.

“Malangnya, MRI (ujian pengimejan resonan magnetik) menunjukkan keputusan yang tidak seperti kami harapkan. Keputusan ujian membuatkan kami terpaksa menggugurkan Sadio daripada Piala Dunia,” katanya.

Mane terdahulu mengalami kecederaan itu ketika beraksi untuk Bayern awal bulan ini, tetapi dinamakan dalam skuad ke Piala Dunia dengan harapan dia sempat pulih.

Kehilangan penyerang berbisa itu adalah tamparan hebat buat Senegal apabila Mane merupakan antara tonggak utama dalam pasukan tersebut ketika muncul juara Piala Negara-Negara Afrika baru-baru ini.

Untuk rekod, Senegal diundi dalam kumpulan A dan akan menentang Belanda pada 21 November diikuti perlawanan dengan tuan rumah, Qatar dan Ecuador.