Mangsa banjir tidur tak lena, bimbang haiwan berbisa

in Edisi by

Norizan berada di ruang hadapan rumahnya yang masih ditenggelami banjir.

RANTAU PANJANG – Penduduk Kampung Tersang yang berdepan banjir termenung sejak seminggu lalu masih belum bersedia mengemas barangan mereka kerana bimbang peningkatan air jika hujan.

Banjir termenung itu dikatakan tidak menampakkan banyak perubahan walaupun keadaan cuaca panas.

Ada penduduk yang masih tidak lena tidur kerana bimbang terdedah dengan haiwan berbisa yang memasuki kediaman mereka.

Penduduk, Norizan Che Soh, 54, berkata, air masih memenuhi ruang dapur rumah sedalam satu meter yang menyukarkannya untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun Norizan kini berulang-alik antara rumahnya dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh untuk memantau keadaan kediaman.

“Saya bimbang binatang berbisa memasuki rumah kerana sejak seminggu lalu, banjir termenung belum menampakkan perubahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Norizan juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan membina ruang khas yang tinggi untuk meletakkan barangan dan dokumen penting.

“Kami sudah berhadapan dua kali banjir termenung iaitu kali pertama pada Februari lalu tetapi air surut dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Jirannya, Che Hasnizan Che Omar, 45, pula memberitahu, kejadian banjir termenung kali ketiga itu menjadikannya lebih bersedia menghadapi bencana itu.

Katanya, sehingga kini air sedalam lebih dua meter di kawasan rumah menyukarkan mereka sekeluarga untuk melakukan perkara harian.

“Kami sudah tiga kali berdepan banjir termenung iaitu pada Disember tahun lepas, Februari lalu dan ini merupakan kejadian terbaru.

“Saya belum mengemas barangan di dalam rumah sepenuhnya kerana masih bimbang akan hujan dan mengakibatkan banjir lagi,” katanya.

Bagaimanapun menurut penoreh getah itu, air di kawasan rumahnya tidak berbau busuk kerana kawasan luas dan sentiasa mengalir.

Che Hasnizan sebelum ini tinggal di PPS SK Tok Deh selama empat hari dan kini sudah pulang ke rumah selepas banjir di dalam rumah surut sepenuhnya.