Penduduk DUN Durian Tunggal rayu isu banjir selesai

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

SemahanRumah penduduk di Kampung Belimbing Dalam yang dilanda banjir termenung sejak Khamis.

ALOR GAJAH – Penduduk beberapa kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di sini, merayu kerajaan baharu yang akan diberikan mandat oleh rakyat mendengar penderitaan mereka akibat banjir.

Warga emas dari Kampung Belimbing Dalam, Rumlah Kassim,64, berkata, meskipun banjir yang berlaku tidak seteruk di negeri pantai timur, namun dengan keadaannya yang berusia, sukar untuk dia membersihkan rumah dinaiki lumpur setiap kali banjir melanda.

Menurutnya, disebabkan rumahnya terletak di kawasan rendah selain tiada sistem perparitan yang sistematik, menyebabkan dia dan beberapa lagi penduduk terpaksa mengharungi banjir yang tidak berkesudahan.

“Sedih mengenangkan keadaan kami, bila hujan lebat beberapa jam, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan.

“Mak cik bukannya larat nak membersihkan rumah selalu, nak lagi lumpur tebal,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan JAPERUN Durian Tunggal di Bukit Balai di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, turut kasihan melihat cucunya berusia setahun lapan bulan yang menghidap sakit buah pinggang terpaksa berpindah randah ke PPS tersebut.

Ruminah Ahmad, 66, berkata, terkilan dan mendakwa ada calon yang bertemu dengannya memaklumkan banjir yang berlaku di kawasan rumah di Bukit Balai tiada ada jalan penyelesaian.

“Jadi kalau dia berkata begitu, apa gunanya mak cik nak mengundi dia. Sebelum ini kerajaan negeri lalu, pernah janji nak pindahkan kami ke Belimbing Setia, tapi yang mak cik tahu rumah di situ telah pun dijual kepada orang lain.

“Mak cik orang kampung, tak ada pendapatan, macam mana mak cik nak beli rumah baharu,” katanya.

Situasi yang sama turut dialami suri rumah, Semahan Ishak, 56, berkata, dengan tidak bekerja dan hanya mengharapkan pendapatan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sukar untuk dia sekeluarga berpindah ke tempat lain.

**media[1990154]**

Menurutnya, disebabkan kekangan kewangan ditambah dua anak yang bersekolah, dia yang sebelum ini menetap di Pulau Pinang mengambil keputusan berpindah dan menetap di rumah pusaka mertuanya bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya bukan orang senang, jadi bertahun-tahun kami sekeluarga sabar tinggal di rumah pusaka di Kampung Belimbing Dalam walaupun terpaksa harungi banjir.

“Harap kerajaan baharu dan wakil rakyat baharu dengarlah masalah banjir yang terpaksa kami hadapi setiap tahun,” katanya.

Bagi Masitah Jantan, 40, berkata, dengan anak yang ramai dan masih bersekolah sukar untuk berpindah ke rumah sewa lain.

“Nak mencari rumah sewa lain bukannya senang, kalau ada pun kadar sewanya agak mahal.

“Memandangkan lima anak saya berusia enam hingga 13 tahun masih bersekolah saya sabar, sebab rumah sewa yang banjir ini dekat dengan sekolah anak-anak,” katanya.

Sementara itu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kamarulsyah Muslim, berkata, sehingga jam 4 petang Jumaat seramai 44 orang daripada 10 buah keluarga masih ditempatkan di PPS itu yang dibuka sejak Isnin.