PRU15: Anak perantau sanggup redah banjir demi undi

in Politik by

Nor Shairah mendayung perahu menuju ke rumahnya sejauh 100 meter dari jalan raya.Nor Shairah mengangkut beg ke atas perahu untuk ke rumahnya yang dinaiki air. Gambar kecil: Nurul Nasuha

RANTAU PANJANG – Pengundi di luar Kelantan kini mula pulang untuk menjalankan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada Sabtu.

Walaupun terpaksa menghadapi perjalanan jauh lebih 12 jam dan meredah banjir, mereka tetap bersemangat untuk keluar mengundi.

Pekerja kilang di Shah Alam, Nor Shairah Che Mut, 29, terpaksa menggunakan perahu sejauh 100 meter untuk masuk ke dalam rumahnya yang dinaiki air.

Menurut Nor Shairah, walaupun tahu kawasan kampungnya iaitu Kampung Tersang dilanda banjir sejak dua minggu lalu namun dia nekad pulang menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.

“Saya bertolak kira-kira jam 5 petang semalam (Khamis) dan sampai pada jam 12 tengah malam tadi,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumahnya pada Jumaat.

Anak ketiga dari lima beradik itu mengambil keputusan untuk bermalam di rumah ibu saudaranya di kampung berdekatan sebelum pulang ke rumah ibunya.

Nor Shairah kemudian mendayung perahu meredah banjir setinggi 1.5 meter untuk pergi ke rumahnya.

“Walaupun boleh berenang tetapi saya bimbang keselamatan diri kerana air sangat dalam dan saya tidak mahir mendayung perahu,” katanya.

“Sebelum ini, saya dimaklumkan oleh keluarga banjir mencecah sehingga tiga meter di kawasan rumah dan keluarga terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS).

**media[1989702]**

Dia kini bersedia meredah perjalanan sejauh 12 kilometer untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Gual Periok pada Sabtu.

Nor Shairah turut mencadangkan supaya pengundi datang lebih awal dan menjalankan tanggungjawab mereka untuk negara.

Sementara itu, kerani akaun, Siti Aisyah Zahariman, 26, tiba tengah malam tadi dari Kuala Lumpur dan tidur di PPS SK Kubang Kual di sini kerana kawasan rumahnya masih digenangi air.

Menurutnya, perjalanan 12 jam bersama empat saudara terdekatnya bukan halangan untuk pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di PPS itu.

Anak sulung empat beradik itu juga menjadi pengundi kali kedua dan tidak mahu melepaskan peluang memilih calon yang diyakini dapat berbakti kepada kampungnya.

Sepupu Siti Aisyah, Nurul Nasuha Mohd Aris, 20, juga bersedia untuk mengundi di lokasi sama.

Katanya, walaupun kali pertama mengundi, pekerja swasta itu sudah mempunyai pilihan untuk mengundi.

“Sudah pasti saya mengundi calon mengikut pilihan sendiri kerana sebelum ini sudah tahu calon yang sesuai untuk berkhidmat di kawasan ini,” katanya.