PRU15: Anwar calon PM paling berkebolehan

in Politik by

Anwar Ibrahim (kiri) dan Rais Hussin

SHAH ALAM – Firma pemikir bebas, EMIR Reseach berpendapat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri (PM) yang paling berkebolehan untuk memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, ketua pembangkang itu adalah pilihan yang jelas untuk menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu negara.

Menurutnya, masalah itu antaranya membabitkan kemerosotan status sosioekonomi, peluasan jurang ketidaksamaan antara etnik dan fenomena ‘brain drain’.

“Berdasarkan fakta dan merit antara pilihan yang ada, kita mempunyai pilihan yang jelas untuk kepimpinan Malaysia selepas PRU15.

“Sememangnya Anwar adalah calon PM yang paling bersifat intelek dan berjiwa ilmiah berbanding yang lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rais Hussin menjelaskan, jawatan PM harus dipegang oleh mereka yang berkelayakan tinggi kerana jawatan itu ketika ini adalah satu tugas yang amat sukar dan mencabar.

Malah, tegas beliau, kumpulan 70 ilmuan dan bekas ahli akademik yang dinamakan sebagai G70 menyifatkan sifat calon yang sesuai dipilih adalah berpengetahuan tinggi, berilmu dan berwibawa, berkemahiran, jujur, ikhlas, berakhlak serta mengamalkan gaya hidup yang sederhana tanpa menayangkan kemewahan melampau.

Ujarnya, khutbah solat Jumaat pada 18 November (hari ini) yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak merangkumi mesej yang sama tentang kepentingan memilih calon yang tepat.

Calon yang tepat ialah yang mempunyai maruah diri, imej yang baik, bebas daripada rasuah, kuat jiwa dan intelek serta mempunyai kebolehan untuk membawa kemakmuran kepada negara.

“Melihat kepada kriteria calon yang disyorkan oleh G70 dan sebagaimana yang dirangkumkan dengan baik oleh Jabatan Agama Islam Perak, jelas Anwar mempunyai kelebihan berbanding calon PM yang lain.

“Ini adalah pandangan yang dikongsi oleh kumpulan G70 yang mendapati Anwar sebagai satu-satunya tokoh politik yang mempunyai kebijaksanaan, pengalaman dan integriti yang boleh memimpin masyarakat berbilang budaya sambil menegakkan prinsip dan ajaran Islam sebagai agama rasmi persekutuan sekali gus dapat membina semula imej dan nama baik negara,” ulasnya.

Menurut Rais Hussin, jika ada yang mempersoalkan keikhlasan Anwar, perlu diketahui bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pernah terlibat dalam Demonstrasi Baling 1974 untuk memerangi kemiskinan dan meringankan penderitaan rakyat yang telah menyebabkan beliau dipenjarakan hampir dua tahun.

“Tidak dinafikan fakta sejarah ini membentuk sudut pandangan politik dan sosial Anwar yang diperhatikan dalam kerjayanya.

“Anwar mempunyai pengalaman luas sebagai menteri, terutamanya sebagai timbalan perdana menteri dan sebagai menteri kewangan pada 1990-an yang telah membuktikan ketokohan beliau dalam membimbing Malaysia mengharungi tempoh ketidakstabilan semasa krisis kewangan Asia 1997,” jelas beliau.

Rais Hussin menambah, pengalaman dan jasa Anwar membolehkan beliau mendapat pengiktirafan dan anugerah antarabangsa, seperti digelar ‘Asian of the Year’ daripada Newsweek International.

Menurutnya, seperti yang dilaporkan oleh pelbagai sumber, Anwar telah memegang jawatan pensyarah di St Anthony’s College di Oxford, School of Advanced International Studies di Johns Hopkins University dan di School of Foreign Service di Georgetown University.

“Siapakah antara calon-calon PM yang paling sesuai untuk memimpin negara berbilang kaum dan budaya ini jika bukan Anwar, yang seperti ditulis oleh Georgetown University, beliau dihormati di peringkat antarabangsa sebagai pemimpin dalam dialog antara agama dan hubungan Kristian-Muslim dan merupakan salah satu daripada penandatangan awal kepada inisiatif ‘Common Word’.

“Siapakah antara calon-calon PM yang telah dikenali dalam memperjuangkan reformasi dan keadilan untuk semua jikalau bukan Anwar yang seperti yang ditulis oleh biro speaker ‘Specialist Speakers’, pernah dilantik menjadi Presiden Kehormat bagi grup AccountAbility di London dan juga sebagai Pengerusi ‘Foundation for the Future’ di Beirut,” ujar beliau.

Dakwa Rais Hussin, selepas mengalami penganiayaan, pemecatan jawatan yang tidak adil dan pendakwaan bersifat politik selama bertahun-tahun, Anwar boleh sahaja berundur dan bersara namun beliau memilih untuk terus berjuang untuk negara.

“Sebagai pemimpin pembangkang sejak sekian lama, beliau telah memperoleh pandangan yang luas tentang keseluruhan pentadbiran dan permainan politik kerana beliau pernah berada di kedua-dua belah pihak,” katanya lagi.