PRU15: Calon 'underdog' semangat kempen saat akhir

in Politik by

Mahhadee (tengah) bersama-sama anak-anak yang turut membantu kempen pada saat akhir sebelum tempoh berkenaan berakhir tengah malam ini.

IPOH – Berbaki beberapa jam sebelum kempen ditamatkan, semangat calon-calon bukan dari parti-parti besar yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak luntur dalam meraih undi pada saat akhir.

Bagi calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai, Mahhadee Ramlee berkata, semangatnya untuk berkempen lebih tinggi pada hari terakhir.

Menurutnya, mendapat maklum balas positif daripada pengundi dan rakan-rakan menyebabkan program-program bertemu pengundi diteruskan.

“Ketika ini saya tak rasa nak mengalah walaupun sebagai calon Bebas. Saya tengah seronok berkempen bertemu masyarakat.

“Saya rasa dapat rasa peluang itu masih ada sebab bila kita turun jumpa orang ramai mereka bagi reaksi yang baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, bagi calon Bebas DUN Buntong, A Sebastiar berkata, kempen bertemu dengan masyarakat setempat masih diteruskan sehingga malam.

Katanya, status sebagai calon Bebas bukan bermaksud tiada peluang tetapi perlu bekerja keras mendapatkan undi.

Sementara itu, bagi calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) di kerusi DUN Tronoh, Bryan Yong Wu Sean pula, keluarga dan jentera pilihan rayanya merupakan pemberi semangat untuknya terus berkempen hingga hari terakhir.

Jelasnya, sungguhpun antara calon termuda dan pertama kali bertanding pada PRU, usaha meraih undi dengan menyantuni masyarakat sebanyak mungkin dilakukan sebelum kempen tamat malam nanti.

Bagi calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Aswannudin Hariffudin yang bertanding di kerusi DUN Teja, jadual kempen pada hari terakhir dimulai dengan lawatan ke Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk memastikan jentera bersiap sedia menjelang hari pengundian nanti.

Katanya, selepas itu lawatan kali kedua di sekitar kawasan Pekan Gopeng dilakukan untuk bertemu seberapa ramai pengundi.

“Saya sebenarnya berkempen secara santai bertemu dengan masyarakat. Tidak sebarang tekanan pun sebab kita sudah biasa dengan program-program bersama masyarakat ketika memimpin Majlis Belia Negeri Perak.

“Kempen di DUN Teja ini pun sangat tenang dan semua mengamalkan politik matang, saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Menjelang proses pengundian pada Sabtu, semua calon hanya dibenarkan berkempen sehingga tengah malam nanti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).