PRU15: Pas guna konsep menerang bukan menyerang

in Politik by

Abdul Hadi (dua, kanan) bersama Ahmad Samsuri (dua, kiri) ketika hadir menjayakan program jelajah PN Best 2022 (PRU15) Grand Finale.

KEMAMAN – “Pas ada dasar iaitu menerang bukan menyerang,” kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika mengulas mengenai isu provokasi pemasangan bendera parti di Batu 6, Kuala Nerus.

Dalam kejadian pada malam Selasa lalu, penyokong Pas dikatakan cuba menghalang jentera Pakatan Harapan (PH) yang cuba memasang bendera di kawasan tersebut dan satu laporan polis juga telah dibuat berhubung perkara itu.

Abdul Hadi berkata, Pas mempunyai konsep tersendiri yang membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pemimpin yang bersikap agresif atau kasar.

“Biasalah dalam pilihan raya akan berlaku ketegangan dan kadang-kadang mereka bertindak secara spontan.

“Namun kita dapat mengatasi semua bagi pihak kita dan tidak berlaku tindakan agresif sehingga menimbulkan huru-hara,” katanya.

Menurutnya, sejak dahulu lagi Pas mengamalkan demokrasi secara aman dan semua pihak diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi.

“Kita pantau semua kerana Pas guna pendekatan damai iaitu menerang bukan menyerang dan itu konsep yang kita bawa.

“Mana-mana pemimpin yang bersikap kasar, agresif atau menyerang akan diambil tindakan dan kita akan berhentikan mereka daripada memberi ceramah.

“Setakat ini memang ada tindakan diambil tetapi ia hanya melibatkan jumlah yang terlalu kecil iaitu satu atau dua kes sahaja,” katanya pada sidang media sempena program jelajah PN Best 2022 (PRU15) Grand Finale di Padang Astaka, Chukai, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam kenyataan sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, dua kawasan di Terengganu iaitu di Batu Enam dan Marang ibarat tanah haram dan dilarang memacak bendera lain.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, berdasarkan lawatan yang dilakukan di seluruh Semenanjung untuk tempoh seminggu terakhir kempen menunjukkan sokongan positif terhadap Pakatan Nasional (PN) melebihi parti lain.

“Yang menarik ialah sambutan orang-orang muda dan mereka adalah penentu yang agak mustahak.

“Kita melihat sambutan kepada PN melebihi parti lain tidak kiralah ketika program pada petang, pagi atau malam.

“Mengenai gabungan dengan parti lain selepas PRU ia adalah satu andaian kerana kita nak usaha tubuhkan kerajaan sendiri dan tidak akan bersama parti ekstrem agresif atau tidak bersih daripada rasuah,” katanya.