Pemain muda Sepanyol 'boleh harap'

in Sukan by

Pedri (kanan) dan Gavi (tengah) membawa cabaran Sepanyol di Qatar. -Foto: Agensi.

SKUAD Sepanyol yang dibarisi pemain muda mampu memburu kejayaan pada edisi Piala Dunia di Qatar minggu depan.

Keyakinan itu disuarakan bekas pemain tengah Sepanyol, Andres Iniesta yang memenangi Piala Dunia 12 tahun lalu.

Beliau berkata, skuad muda bimbingan Luis Enrique mempunyai banyak pengalaman dengan pasukan di peringkat kelab dan bersedia memburu kejayaan antarabangsa.

Juara 2010 itu memilih untuk menggunakan pemain generasi baharu berbakat sekali gus mengenepikan tonggak tengah Liverpool, Thiago Alcantara dan penjaga gol Manchester United, David de Gea.

Justeru, Sepanyol mempertaruhkan pemain remaja Barcelona, Pedri dan Gavi dalam saingan di Qatar.

Iniesta berkata, dia mempunyai keyakinan penuh terhadap kedua-dua pemain itu dan pemain lain.

“Mereka masih muda, tetapi mereka adalah pemain pasukan utama, nadi penting dan mempunyai banyak tanggungjawab.

“Mereka mempunyai peluang untuk memberikan yang terbaik,” kata bekas pemain Barca itu yang kini bermain untuk Vissel Kobe di Jepun.

Iniesta berkata, ia adalah satu cabaran yang pemain muda minati dan mereka sedar mampu melakukannya dengan baik.

“Secara peribadi, saya suka pasukan ini dan kumpulan yang disusun oleh jurulatih,” katanya.

Iniesta yang menjaringkan gol kemenangan yang memberikan Sepanyol satu-satunya kejuaraan Piala Dunia berharap skuad muda itu mampu pergi jauh sekali lagi.

“Saya berharap pemenang Piala Dunia adalah Sepanyol. Ramalan saya sentiasa bercita-cita tinggi,” katanya.

Sepanyol akan berdepan Costa Rica pada aksi pertama Khamis depan sebelum perlawanan menentang Jerman dan Jepun dalam Kumpulan E.