Pengundi kurang upaya datang awal tunai tanggungjawab

in Edisi by

Pengundi kurang upaya, Salmiah Mohd Taib, 80, (kiri); Melati jaafar, 54, (dua dari kiri), Maznah Baharom, 65,, (dua dari kanan) dan Jamaayah Harun, 84, (kanan) menunjukkan jari telunjuk mereka selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Permatang Pauh kira-kira jam 8.25 pagi tadi.

PERMATANG PAUH – Empat pengundi kurang upaya di Parlimen Permatang Pauh memilih untuk datang awal ke Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti bagi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Mereka tiba di pusat pengundian itu pada jam 8 pagi dengan berkerusi roda dengan diiring ahli keluarga dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Warga emas, Salmiah Mohd Taib, 80, yang sudah lebih 10 kali mengundi dalam pilihan raya sebelum ini berkata, dia akan datang awal untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana tidak mahu bersesak dengan orang lain.

“Mak cik sampai awal tadi, orang ramai pon dok berbaris lagi untuk masuk ke pusat mengundi.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan cepat dan lancar dengan bantuan pasukan keselamatan serta petugas SPR di sini,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi di sini pada Sabtu.

Seorang lagi pengundi, Jamaayah Harun, 84, pula mengakui teruja untuk membuang undi pada pilihan raya kali ini dan tidak mahu melepaskan peluang untuk berbuat demikian walaupun terpaksa berkerusi roda.

“Tak ingat dah berapa kali mak cik mengundi, tetapi memang setiap kali pilihan raya mak cik akan mai dengan anak-anak untuk pilih wakil rakyat kami,”katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati proses pengundian di sekolah terbabit berjalan lancar walaupun orang ramai dilihat mula beratur di luar bangunan seawal jam 7 pagi lagi.

Proses pengundian yang bermula pada jam 8 pagi itu akan berakhir pada jam 6 petang nanti.