Pesakit strok, keluarga redah banjir naik bot pergi mengundi

in Edisi Kelantan by

Jah (tiga dari kanan) dibantu untuk keluar dari bot yang dinaiki mangsa banjir itu.
RANTAU PANJANG – Walaupun kawasan rumah dinaiki banjir setinggi semeter, seorang pesakit strok dan ibunya sanggup meredah banjir dengan menaiki bot untuk ke pusat mengundi di Kampung Tersang di sini pada Sabtu.

Rosmadi Che Will, 49, yang mengalami strok sebelah kiri badan menaiki bot itu bersama ibunya, Jah Che Wil, 80, sejauh 200 meter dari rumah mereka ke jalan utama di kampung itu pada jam 10.20 pagi.

Turut sama ialah isterinya, Marie Suriani Abdullah, 43, anak mereka, Nur Shafika Balqis Rosmadi,18, dan adik lelaki Rosmadi, Sakri Che Wil,45, yang mengemudi bot.

Kesemua mereka mengundi di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periuk di sini.

Jah berkata, mereka tetap teruja untuk keluar mengundi walaupun dalam musim bah.

“Saya baru dua hari lepas pulang ke rumah selepas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh.

“Banjir dalam rumah saya melepasi kepala saya sendiri setinggi lebih semeter dan sekarang menumpang di rumah Rosmadi,” katanya.

Sementara itu, Marie yang juga seorang pengusaha kantin berkata, rumah dia dan suami terletak dalam jarak kurang 100 meter daripada rumah ibu mentuanya itu.

“Rumah saya tinggi dan tidak dinaiki air tetapi sekeliling rumah digenangi banjir sudah tiga minggu.

“Kami sekeluarga tetap semangat nak keluar mengundi kerana pertama kali perlu naik bot untuk ke pusat mengundi,” katanya.

Banjir di Kelantan setakat tengah hari Sabtu melibatkan 401 mangsa ditempatkan di empat PPS di kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas dengan keadaan cuaca sekejap mendung disusuli hujan di beberapa lokasi.