PH Bagan Datuk nafi beri RM100 kepada pengundi

in Politik by

Mesej palsu yang tular mendakwa pengundi akan menerima RM100 sebagai penghargaan sokongan kepada PH.

BAGAN DATUK – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Bagan Datuk, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa menjadi mangsa sabotaj pihak tidak bertanggungjawab dengan penyebaran mesej palsu pada Sabtu.

Ia selepas tular satu mesej yang mendakwa pengundi akan menerima RM100 sebagai penghargaan sokongan kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“PH Bagan Datuk menafikan sekeras-kerasnya ada rasuah untuk pengundi dan mengutuk perbuatan menyebarkan berita palsu.

“Pengundi hari ini sudah semakin bijak untuk menilai, Selamat Mengundi!” katanya dalam ciapan di Twitter.

Sebelum ini, serangan provokasi liar juga diterimanya pada Ahad lepas ketika berlaku perang mulut antara penyokong dua parti dalam satu program ceramah di Sungai Dulang, Hutan Melintang.

Suasana tegang timbul ketika bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berucap dalam program berkenaan yang turut dihadiri pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki.