Proses pengundian di seluruh negara lancar, terkawal: KPN

in Nasional by

Acryl Sani (tengah) meninjau pusat pengundian bagi PRU15 di Sekolah Kebangsaan Desa Amanpuri hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung di seluruh negara hari ini berjalan lancar dan terkawal walaupun terdapat kesesakan di beberapa pusat pengundian pada awalnya, kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, tiada sebarang provokasi yang dikesan sepanjang proses berkenaan berlangsung.

“Semua pengundi melaksanakan pengundian dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram dan ini menunjukkan masyarakat kita semakin matang dalam proses pengundian.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang keluar mengundi kerana telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Acryl Sani berkata, berdasarkan tinjauannya pada sebelah pagi mendapati orang ramai berpusu-pusu keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka, namun keadaan mula reda menjelang tengah hari apabila pengundi tidak lagi beratur hingga ke luar pagar pusat mengundi.

Turut hadir, Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali; Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Selango,r Datuk S Sasikala Devi.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Sementara itu, Acryl Sani menafikan dakwaan beliau ada menghubungi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didakwa dalam satu video yang tular di media sosial malam tadi.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan pihaknya tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan berhubung perkara itu.

“Mungkin beliau (Anwar) tersilap cakap dalam keghairahan berceramah dan berkempen,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video telah tular malam tadi yang mengandungi ucapan bekas timbalan perdana menteri itu ketika berkempen yang menyatakan Acryl Sani meminta beliau bersedia kerana berkemungkinan bakal membentuk kerajaan selepas PH dijangka memperoleh 112 kerusi Parlimen dalam PRU15. – Bernama