Proses pengundian PRU15 bermula

in Nasional by

Petugas SPR menyiapkan peti undi di hadapan agen calon sebelum bermulanya proses pengundian PRU15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Garam hari ini. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula secara rasmi pada 7.30 pagi ini di Sabah, Sarawak dan Labuan manakala di Semenanjung Malaysia bermula 8 pagi nanti.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.

Mengikut Warta Kerajaan mengenai penetapan waktu mengundi PRU15 yang dimuat naik di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya, pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang.

Namun, ada pusat mengundi yang akan ditutup lebih awal antaranya Balai Raya Pulau Besar di dalam daerah mengundi Pulau Besar di Johor yang akan ditutup pada 11 pagi.

Di Sabah, Sarawak dan Labuan pula pusat mengundi akan ditutup antara 11 pagi hingga 5.30 petang.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundian awal yang berlangsung pada Selasa lepas menyaksikan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi melibatkan anggota keselamatan dan pasangan melaksanakan tanggungjawab mereka. – Bernama