PRU15: 42 peratus keluar mengundi setakat 12 tengah hari

in Nasional by

Pengundi ketika mengundi pada PRU15 Parlimen Putrajaya di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1). -Foto Bernama

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 42 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), setakat jam 12 tengah hari, Sabtu.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan berkata, sebanyak 8,958 pusat mengundi dan 38,348 saluran telah dibuka dengan bantuan daripada 363,515 petugas.

PRU15 kali ini menyaksikan perebutan 221 kerusi Parlimen selepas pengundian di Parlimen Padang Serai dibatalkan susulan calon Pakatan Harapan (PH), Karupaiya Mutusami meninggal dunia tiga hari sebelum hari mengundi akibat sakit jantung.

Jumlah itu menjadikan seramai 939 calon bertanding di Parlimen kali ini, berbanding jumlah asal, 945 apabila pengundian di kerusi Padang Serai yang melibatkan enam calon dibatalkan.

Pilihan raya kali ini turut melibatkan pengundian Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.

Sementara itu, satu DUN di Pahang iaitu Tioman turut berdepan situasi sama apabila calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut, Md Yunus Ramli meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Rompin kira-kira lima jam sebelum pengundian dibuka pada jam 8 pagi.