PRU15: Ahmad Zahid harap BN dapat bentuk kerajaan semula

in Politik by

Pengerusi BN yang juga calon P075 Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kiri) dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis (empat, kiri) tiba untuk mengundi pada PRU15 di Pusat Mengundi Madrasah Manbail Ulum pada Sabtu. – Foto Bernama.

BAGAN DATUK – Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan gabungan itu mendapat jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk semula kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, gerakan besar-besaran Get Out The Voters (GOTV) yang bermula jam 7 pagi hingga 6.30 petang nanti mengetahui maklumat bilangan pengundi yang mengundi hari ini.

“Saya ucapkan terima kasih semua jentera parti BN di semenanjung dan Sabah yang jalankan telah jalan tugas saat-saat akhir.

“BN mengharapkan akan dapat jumlah kerusi yang mencukupi bagi bentuk kerajaan.

“Insya-Allah BN masih mendahului gabungan parti-parti lain dan harap ia menjadi satu realiti BN bagi bentuk kerajaan semula,” katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Madrasah Manbail Ulum, Sungai Nipah Darat disini pada Sabtu.

Beliau kemudiannya menunggang motosikal untuk melawati pusat-pusat pengundi di sekitar Parlimen Bagan Datuk.

Pada PRU15, Ahmad Zahid yang merupakan penyandang akan disaingi dua lagi pencabarnya dari Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Muhammad Faiz Na’aman serta calon Bebas, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail.

Seramai 58,183 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Bagan Datuk layak mengundi pada PRU15.