PRU15: Blackout ketika proses kira undi

in Nasional by

Kejadian dilaporkan berlaku di Kolej Vokasional Gombak di sini sekitar jam 8.20 malam dipercayai akibat petir. – Foto tular di media sosial

GOMBAK – Sebuah pusat pengundian di Parlimen Gombak dilaporkan terputus bekalan elektrik pada Sabtu.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kolej Vokasional Gombak di sini sekitar jam 8.20 malam dipercayai akibat petir.

Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Gombak, Nor Azlina Abd Aziz yang memaklumkan gangguan bekalan elektrik tersebut berlaku selama dua minit.

“Kejadian dipercayai akibat litar pintas itu berlaku ketika proses pengiraan kertas undi dilakukan.

“Namun tiada kerosakan teruk berlaku dan berjaya diatasi segera sebelum proses pengiraan undi diteruskan, ” katanya mengulas video insiden blackout yang tular di media sosial.

Katanya, proses pengundian telah selesai dan sedang dalam perjalanan ke pusat penjumlahan undi di SMK Sungai Pusu jam 10.30 malam.

Sementara itu, menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi laman Twitternya memaklumkan blackout disebabkan kerosakan dalaman.

“Bekalan TNB disahkan baik dan teratur. Ia berpunca dari kerosakan dalaman di pihak pengguna dan disahkan SPR,” menurut ciapan tersebut.