PRU15: Jadi orang pertama beratur setiap kali mengundi

in Politik by

S.Sakunthala, 71 menjadi pengundi pertama tiba di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Sultan Azlan Shah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas S.Sakunthala, 71 akan memastikan dirinya menjadi orang pertama beratur bagi proses membuang undi setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, meskipun mengalami masalah kesihatan dia tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia bagi PRU15 kali ini.

“Saya datang seawal jam 7 pagi kali ini. Setiap kali pergi mengundi saya memang akan datang awal dan jadi orang pertama beratur.

“Saya mengalami masalah sakit kaki jadi tak boleh berdiri lama. Jadi bila datang awal, boleh selesaikan proses mengundi awal.

“Tambahan pula anak saya mengundi di tempat lain dan perlu hantar saya dulu,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini pada Sabtu.

Sakunthala menambah, dia tekad untuk menjadi sebahagian daripada proses demokrasi meskipun tidak digalakkan oleh anaknya disebabkan faktor kesihatan.

“Setiap kali PRU memang saya akan mengundi. Rasa tidak seronok jika kali ini tak dapat mengundi.

“Saya harap siapa pun yang menang dan jadi kerajaan dapat buat yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Kerusi Parlimen P115 Batu yang terdiri daripada 113,863 pengundi menyaksikan pertembungan sepuluh penjuru membabitkan calon penyandang, calon yang kembali bertanding dan muka baharu pada PRU15.

Pada PRU14, Parlimen Batu dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 24,438 undi.