PRU15: Lumpuh bukan halangan pilih kerajaan 'sebenar'

in Politik by

Chan Haa NyunMoh Tak MingSemangat Maraziah juga berbeza kali ini walaupun berkerusi roda.

AMPANG – Saya lumpuh sebelah badan akibat strok, namun demi masa depan anak cucu kita, saya gagahkan diri melaksanakan tanggungjawab mengundi, kata pengundi warga emas, Maraziah Megat Zaidi, 65.

Maraziah dari Taman Dato Ahmad Razali itu berkata, semangatnya juga berbeza kali ini walaupun berkerusi roda kerana mahu memilih kerajaan ‘sebenar’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Walaupun agak susah hendak bergerak saya kuatkan semangat untuk pergi mengundi, saya juga dah pesan dengan anak (angkat) untuk bawa saya mengundi di Dewan Orang Ramai Taman Dato Ahmad Razali hari ini.

“Saya bertanggungjawab dalam pilihan raya ini kerana mahu memilih kerajaan yang sebenar dan yang terbaik demi anak cucu kita,” katanya ditemui selepas mengundi di Pusat Mengundi Dewan Orang Ramai Taman Dato Ahmad Razali di sini pada Sabtu.

**media[1991378]**

Sementara itu, Chan Haa Nyun, 68, yang turut menggunakan kerusi roda ke pusat pengundian berkata, dia mengundi buat kali ke enam pada PRU15 dan tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab walaupun agak uzur.

“Saya ada masalah untuk bergerak tapi tetap mahu datang (undi) pilih pemimpin dan kerajaan yang baik untuk jaga negara dan bantu orang tua seperti saya,” katanya ditemui di Sekolah Kebangsaan Ampang Campuran di sini.

**media[1991379]**

Seorang lagi warga emas, Moh Tak Ming, 78, berkata, mengundi adalah tanggungjawab semua dan dia tidak mahu melepaskan peluang keluar mengundi pada PRU15 ketika kesihatannya masih lagi baik.

“Tahun ini saya boleh keluar mengundi lagi kalau empat atau lima tahun lagi saya pun tak tahu boleh atau tidak nanti mahu keluar mengundi macam ini,” katanya yang menetap di Kampung Tasek, Ampang.

Tambahnya, parti yang berjaya menjadi kerajaan selepas ini diharap akan menjadi sebuah kerajaan yang lebih stabil dengan pentadbiran lebih baik berbanding sebelum ini.