PRU15: OKU, ibu nyaris tidak mengundi

in Edisi by

Zauyah dan Fatimah menunjukkan jarinya selepas mengundi di SK Padang Mandol.Zauyah (kiri) tiba di Pusat Mengundi SK Padang Mandol bersama ibunya.

TUMPAT – Ketiadaan petugas parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang menjemput mereka menyebabkan wanita orang kurang upaya (OKU), Zauyah Deraman, 32, dan ibunya nyaris tidak mengundi.

Lebih menyedihkan, Zauyah yang cacat fizikal tangan dan kaki berkata, tiada seorang pun petugas dari mana-mana parti yang bertanya mengenai kesukaran mereka.

Menurutnya, enam adik-beradik lain tidak pulang ke kampung kerana kekangan dan masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan.

“Sudah dua hari saya dan ibu, Fatimah Yusof, 74, bertanya khabar beberapa rakan tetapi tiada kepastian daripada mereka.

“Ketika saya sudah putus asa, mujur ada rakan yang menghubungi kira-kira jam 11 pagi walaupun dia sendiri sibuk menguruskan tugasannya,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Padang Mandol di sini.

Zauyah yang mengundi kali ketiga menganggap dirinya pengundi tegar kerana tidak pernah melepaskan peluang menjalankan tanggungjawab itu.

**media[1991383]**

Tambahnya, keadaan lebih sukar apabila dia tidak mahir menggunakan aplikasi e-hailing untuk menempah kenderaan supaya dapat menghantarnya ke pusat mengundi sejauh kira-kira dua kilometer.

“Ibu pula tidak mampu berjalan jauh dan memerlukan bantuan untuk bergerak di pusat mengundi.

“Saya fikir kali ini kami tidak dapat mengundi tetapi syukur ada yang bermurah hati mengambil dan menghantar kami,” katanya.

Zauyah bagaimanapun tiba di pusat mengundi pada jam 12.30 dan menerima layanan yang baik daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Zauyah turut memberitahu, pilihan pemimpinnya ialah seorang individu yang mampu melakukan tugas dengan baik.