PRU15: Pengundi muda berdebar kali pertama undi

in Edisi Terengganu by

Nur Fatin Aleeya(kiri) dan Muhammad Hafiz Danial

DUNGUN – Pengundi muda berusia 18 tahun antara yang paling bersemangat menunaikan tanggungjawab untuk mengundi dan rata-rata mengakui berdebar kerana ia melibatkan masa depan negara.

Nur Fatin Aleeya Mat Zaid berkata, dia rasa berdebar kerana kali pertama mengundi dan tiba seawal jam 7.45 pagi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seberang Dungun.

“Walaupun berdebar saya rasa bersemangat kerana ini adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat.

“Sebaik sahaja selesai memang rasa lega,” katanya.

Manakala penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Muhammad Hafiz Danial Abd Razak berkata, dia mengambil peluang untuk keluar mengundi pada awal pagi dan rasa bangga kerana satu undi akan menjadi penentu kepada pentadbiran negara.

“Memang berdebar sebab ini kali pertama tetapi sebagai anak muda kita wajib jalankan tanggungjawab.

“Walaupun mewakili satu undi ia sangat bermakna untuk masa depan kita semua,” katanya.