PRU15: Pilih kerajaan stabil, elak 'hung parliament'

in Politik by

Ismail Sabri menunjukkan jarinya yang dicelup dakwat kekal selepas mengundi bagi PRU15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong hari ini. – Foto Bernama

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru pengundi yang melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini untuk memilih kerajaan stabil bagi mengelakkan situasi ‘hung parliament’, iaitu keadaan yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

Katanya, Barisan Nasional (BN) mampu membentuk kerajaan dengan melepasi majoriti mudah yang diperlukan, bersama dengan rakan parti di Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah pada PRU15.

Beliau berkata, sebarang kerjasama dengan parti lain di Semenanjung dalam pembentukan kerajaan perlu dibincangkan dan diputuskan oleh kepimpinan parti selepas PRU15 berakhir.

“Sasaran kita ialah boleh cross the bridge dengan lebih 112 kerusi (Parlimen) dengan bantuan rakan-rakan BN di Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan sendiri,” kata penyandang kerusi Parlimen Bera itu ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai keyakinan BN membentuk kerajaan malam ini selepas keputusan pilihan raya diumumkan, Ismail Sabri berkata: “Saya harap begitulah (bentuk kerajaan), kalau kita dah melepasi sasaran 112 kerusi (Parlimen) dengan rakan Sabah dan Sarawak, kita tak perlu lagi untuk tunggu.”

Ismail Sabri turut mengucapkan takziah kepada keluarga serta seluruh pimpinan Perikatan Nasional (PN) atas pemergian calon mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Md Yunus Ramli yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Md Yunus, 61, meninggal dunia di Hospital Rompin pada kira-kira pukul 3.30 pagi tadi, dan sehubungan itu Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli memaklumkan proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman di bawah Parlimen Rompin hari ini ditangguhkan. DUN Tioman merupakan satu daripada 42 kerusi DUN di Pahang.

Pada PRU15, DUN Tioman sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional). – Bernama.