PRU15: Prosedur pengundi positif Covid-19 berjalan lancar

in Nasional by

Khairy meninjau proses pengundian di SK Seksyen 7 Kota Damansara pada Sabtu.

PETALING JAYA – Proses pengundian bagi pengundi yang positif Covid-19 berjalan lancar setakat ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menempatkan dua pegawai kesihatan di pusat mengundi bagi membantu menyelaras pengundi yang dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, orang ramai masih boleh hadir mengundi di pusat-pusat mengundi berdaftar seluruh negara meskipun dijangkiti Covid-19.

“Pegawai ini akan mengiringi pengundi yang positif Covid-19 untuk mengundi di saluran yang ditetapkan.

“Untuk pusat mengundi berkapasiti kecil, hanya seorang pegawai KKM akan bertugas,” katanya ketika sidang akhbar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Kota Damansara pada Sabtu.

Jelas Khairy, setakat ini proses pengundi yang positif Covid-19 berjalan lancar dan tiada sebarang masalah dilaporkan berlaku.

“Mereka yang positif Covid-19 maklumkan dengan tunjuk MySejahtera dan mereka akan dibawa masuk untuk mengundi dan selepas itu mereka terus balik,” kata beliau.

“Untuk di SK Seksyen 7 Kota Damansara ini, seramai 10 pengundi positif Covid-19 hadir setakat jam 12.30 tengah hari ini,” katanya yang juga calon Parlimen Sungai Buloh.

Sebelum ini, Khairy berkata, KKM tidak melaksanakan laluan khas bagi individu positif Covid-19 di tempat mengundi pada PRU15 selepas kementerian mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk SPR kerana mengambil kira kekurangan sumber, ruang dan tenaga kerja.