PRU15: Sempat mengundi sebelum pergi umrah

in Edisi by

A Rani (kanan) menunjukkan jari yang dicelup dakwat khas selepas selesai mengundi di SK Bukit Diman pada Sabtu.

HULU TERENGGANU – Seorang pengundi masih sempat menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lima jam sebelum menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur untuk menunaikan umrah.

A Rani Mamat, 57, dari Felcra Bukit Kapah di sini, tiba di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Diman pada jam 7.30 pagi dan selesai mengundi kira-kira 35 minit kemudian.

Menurut A Rani, tugas membuang undi tetap dilakukan walaupun dalam keadaan tergesa-gesa kerana sedar kepentingan memilih pemimpin dan kerajaan baharu mentadbir negara.

“Lepas solat Subuh sekitar jam 6.30 pagi, saya keluar dari rumah di Felcra Bukit Kapah untuk mengundi di SK Bukit Diman ditemani anak. Alhamdulillah selesai juga dan antara orang terawal mengundi.

“Selepas ini, saya akan terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus untuk ke Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di SK Bukit Diman di sini pada Sabtu.

Dia yang bekerja sendiri berkata, penerbangannya ke Makkah dijadualkan berlepas pada petang nanti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama 70 ahli rombongan lain.

Katanya, ini pengalaman pertama menunaikan umrah selepas beberapa kali terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

“Saya tidak pernah melepaskan peluang mengundi sejak layak bergelar pemilih, sebab itu hari ini saya tetap ambil peluang mengundi terlebih dahulu sebelum berlepas ke Makkah,” katanya.