PRU15: UPKO tawan semula Penampang

in Politik by

Ewon kelihatan gembira meraikan kemenangannya di kerusi Parlimen Penampang pada Sabtu.

KOTA KINABALU – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berjaya menawan semula kerusi tradisi parti itu di Parlimen Penampang menerusi kemenangan calonnya, Datuk Ewon Benedick dengan jumlah majoriti 14,410 undi.

Menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ewon yang menang di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) berjaya memperoleh sebanyak 29,066 undi sekali gus menewaskan penyandangnya, Datuk Darell Leiking daripada Parti Warisan (Warisan) yang hanya mendapat sebanyak 14,656 undi.

Ewon turut menewaskan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Kenny Chua Teck Ho dengan undian sebanyak 6,719 dan calon Bebas, Richard Jimmy telah hilang deposit dengan jumlah undi sebanyak 289.

Jumlah keseluruhan pengundi di Parlimen Penampang seramai 77,214 orang dan jumlah undi sebanyak 50,730 dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 65.70 peratus.

Darell yang juga Timbalan Presiden Warisan pernah digelar ‘giant killer’ selepas berjaya menumbangkan Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok pada PRU13.