Ahli MKT UMNO tak puas hati Zahid tangguh mesyuarat

in Politik by

Armand Azha

SHAH ALAM – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menangguhkan mesyuarat penting parti pada saat akhir.

Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, mesyuarat tersebut penting untuk mereka menyuarakan pandangan, kritikan dan cadangan dalam menentukan hala tuju parti.

Ujar beliau, tiada apa-apa makluman yang memberitahu punca mengapa mesyuarat tersebut dibatalkan.

“Apabila saya dimaklumkan bahawa mesyuarat MT itu dibatalkan, saya juga tanya kenapa? Tidak ada sesiapa yang memaklumkan mengapa mesyuarat itu dibatalkan.

“Majoriti ahli amat tidak puas hati kerana kita perlu membuat satu keputusan yang besar.

“Bila mesyuarat ini dibatalkan, kita tertunggu-tunggu bila tarikh mesyuarat ini diadakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu, Mesyuarat MKT UMNO yang dijadualkan pada jam 3 petang itu ditangguhkan pada saat akhir.

Armand berkata, mesyuarat seperti ini tidak sepatutnya dibatalkan begitu sahaja kerana ia melibatkan pihak-pihak penting parti.

“Ini bukan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ini mesyuarat MKT yang akan menentukan hala tuju parti.

“Bukan sahaja parti, malah akar umbi dan rakyat ingin tahu apa pendirian parti,” ujarnya.