Ahmad Zahid nafi bincang tubuh kerajaan campuran dengan PN

in Politik by

Tangkap layar kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad.

SHAH ALAM – Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan gabungan itu ada berbincang dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menubuhkan kerajaan campuran bersama Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, tiada apa-apa rundingan yang dibuat antara gabungan itu dengan PN buat masa ini.

Beliau berkata, segala keputusan berkaitan dengan perkara demikian hanya akan diputuskan olehnya yang merupakan pengerusi gabungan berkenaan.

“Kesemua ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menandatangani aku janji dan memberi mandat kepada saya selaku pengerusi untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang bersetuju untuk mengadakan kerajaan campuran bersama BN dan PN.

Berdasarkan keputusan PRU15, GPS memenangi 22 kerusi Parlimen sementara BN sebanyak 30 manakala PN pula berjumlah 73.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid mengingatkan kepada seluruh ahli Parlimen BN untuk tidak sewenang-wenangnya berbuat keputusan melangkauinya.

Jelas beliau, mereka hendaklah mematuhi segala arahan yang diberikan gabungan tersebut.

“Mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan ahli parti termasuk kerusi Parlimen,”tegasnya.