Mangsa banjir di Kelantan menurun

in Edisi Kelantan by

Jalan di Gual To’Deh ditutup kerana digenangi air.

RANTAU PANJANG – Jumlah mangsa banjir di Rantau Panjang di sini semakin berkurangan sehingga tengah hari Ahad.

Daripada 401 mangsa membabitkan 115 keluarga yang direkodkan pada Sabtu berkurang kepada 110 mangsa daripada 28 keluarga.

Menurut InfoBencanaJKM, seramai 110 mangsa dari kawasan yang dilanda banjir sekitar Gual To’Deh dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh.

Itu menjadikan satu PPS yang masih dibuka berbanding empat PPS pada Jumaat bagi menempatkan 467 mangsa.

Mangsa PPS SK To’Deh terdiri 85 dewasa, kanak-kanak (20), bayi (5) dan warga emas (8).

Keadaan cuaca semasa Rantau Pajang cerah, namun masih ada beberapa kawasan yang digenangi air sehingga menjejaskan pergerakan penduduk.

Selainnya penduduk kampung kebanyakan sudah mula kembali ke rumah masing-masing.

Mangsa yang masih berada di PPS dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dan sentiasa menjaga kawalan kendiri Covid-19.

Sementara itu, Sungai Golok sehingga jam 12.45 tengah hari Ahad berada pada paras waspada 7.48 meter bawah paras bahaya sembilan meter.

Berikutan itu juga, tiga jalan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Pengkalan Rakit – Batu Karang di Kilometer (KM) 3 – 3.5, Jalan SK Gual To’Deh di KM 0.05 – 0.90 dan Jalan To’Deh ke Gual Periok di KM 0.3-1.0.