Mumtaz sedia ubah Tumpat

in Politik by

Mumtaz (tengah) selepas pengumuman PRU15 di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Biji Wangsa di sini pada Sabtu.

TUMPAT – Ahli Parlimen Tumpat yang baharu, Datuk Mumtaz Md Nawi berhasrat mengubah Parlimen itu sebagai sebuah bandar pelancongan Islam, mesra ibadah dan lestari.

Menurutnya, bandar mesra ibadah menjadi perkara utama dalam agenda pembangunan Tumpat.

Masih tidak banyak bandar mesra ibadah di negara kita dan insyaAllah daerah ini akan dibangunkan dalam konteks itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman PRU15 di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Biji Wangsa di sini pada Sabtu.

Mumtaz memberitahu, antara perubahan lain yang akan diusahakan ialah menaik taraf sistem telekomunikasi dan meneliti masalah banjir.

Beliau turut mengakui tidak menjangkakan beroleh kemenangan besar kerana hanya mengambil masa dua minggu untuk bertemu dan mengenali penduduk.

“Bagaimanapun, respons penduduk ketika bertemu dan melalui semua saluran media sosial sangat baik dan mengikuti perkembangan.

“Penerimaan saya daripada pelbagai golongan menunjukkan satu signal bahawa mereka mahu kesepakatan dan pembaharuan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi penghargaan kepada semua pihak dan jentera yang banyak membantu sepanjang berkempen.

Tambah Mumtaz, tugasan pertama beliau sebagai Ahli Parlimen ialah membuat persediaan terhadap Monsun Timur Laut dengan menyediakan peruntukan serta kemudahan tertentu.