Pemuda derita kulit melepuh semakin sembuh

in Edisi Kelantan by

Keadaan kulit di bahagian lengan Tuan Mohamad Hanif yang tinggal parut dan tidak lagi melepuh. Tuan Mohamad Hanif (gambar kanan) kini positif selepas keadaan kulitnya semakin baik.

KOTA BHARU – “Saya sudah semakin baik dan ada selera makan,” kata Tuan Mohamad Hanif Tuan Yazid, 20, pemuda yang menanggung derita penyakit misteri kira-kira tiga bulan lalu.

Menurut Tuan Mohamad Hanif, keadaannya kini semakin baik selepas berulang-alik menerima rawatan alternatif dengan seorang individu di Kok Lanas di sini.

Bekas pelajar jurusan Otomotif di Giatmara Kuantan itu juga gembira kerana tiada luka baru yang tumbuh di kulitnya seperti sebelum ini.

“Walaupun kulit saya masih berparut tetapi lebih selesa jika mahu memakai baju kerana sudah tidak melepuh dan sakit,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sinar Harian pada 24 Oktober lalu melaporkan kisah Tuan Mohamad Hanif yang menghidap penyakit misteri selepas dipercayai memakan udang dikail dari sungai tidak jauh dari rumahnya di Kuantan.

Seluruh kulitnya melepuh dan mengeluarkan air bisa selain kegatalan yang teruk sehingga lebih lima kali dimasukkan ke hospital.

Dia juga pernah menemui lebih 10 pengamal perubatan tradisional.

Anak kedua daripada tiga beradik yang menetap bersama ibunya di Kuantan, Pahang itu terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat di Kampung Pangkal Canggung, Machang untuk merawat penyakit itu.

Berkongsi keadaan kesihatannya, Tuan Mohamad Hanif yang bekerja sebagai mekanik memberitahu, keadaan badannya bertambah sihat selepas bertemu individu yang dipanggil ‘ustaz’ itu dua hari lalu.

“Alhamdulillah, saya diperkenalkan oleh seorang saudara terdekat dan sudah bertemu ustaz itu sebanyak tiga kali,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Tuan Mohamad Hanif, bagi memastikan keadaan kulitnya benar-benar sembuh, dia tidak dapat bekerja kerana bimbang dengan peralatan dan cecair yang digunakan untuk membaiki kenderaan.

Justeru, dia banyak berehat tetapi pada masa sama berharap boleh sembuh dengan segera.

“Saya kini tidak banyak berfikir dan mula positif dengan dugaan ALLAH SWT serta selalu berdoa untuk sembuh,” katanya.

Tuan Mohamad Hanif bersama ibunya, Yusniza Mohd Zaidi, 41, turut pulang ke Machang untuk menjalankan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.