PN Pahang akan segera berbincang bentuk kerajaan negeri

in Politik by

Andansura

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang akan segera mengadakan perbincangan bagi menentukan pembentukan kerajaan yang bakal diterajui parti selepas ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Andansura Rabu berkata, ini kerana keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PN beroleh kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding BN meraih 16 kerusi DUN.

“Dalam keadaan sekarang, kita dapat lihat berlaku sedikit perubahan dalam DUN, setakat ini, antara PN dan BN adalah sama. Kita hanya lebih satu kerusi.

“Jadi, kita kena adakan mesyuarat dalam PN segera, selepas itu baru boleh buat keputusan bagaimana hendak membentuk kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN, daripada jumlah itu PN beroleh 17 kerusi, BN (16) dan Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh lapan kerusi.

Bagi membentuk kerajaan negeri, parti yang bertanding memerlukan majoriti mudah namun tiada parti berjaya memperolehinya selepas keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pada pagi Sabtu ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Andansura yang memangi kerusi DUN Beserah dengan memperoleh sebanyak 23,867 undi mengalahkan empat calon dengan majoriti 11,521 undi menzahirkan rasa bersyukur kerana sekali lagi dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Jelasnya, kepercayaan dan amanah yang diberikan pengundi akan dipikul sebaiknya dengan melakukan pelbagai penambahbaikan dalam perkhidmatan.

“Banyak perkara yang akan diperbaiki terutama sekali dari sudut infrastruktur di kawasan Beserah.

“Dalam tempoh lima tahun ini saya akan cuba menyelesaikan masalah berkenaan sekali gus memberi keselesaan kepada pengundi di Beserah,” ujar beliau lagi.