PRU15: Ahmad Yahya tidak anggap sebagai ‘Giant Killer’

in Politik by

Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Pokok Sena, Ahmad Bawadir Abd Ghani (tengah) membuat pengumuman rasmi kemenangan Ahmad Yahya (dua dari kiri) di Dewan Angsana Sekolah Menengah Sains Pokok Sena pada Ahad.

POKOK SENA – Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya yang memenangi kerusi Parlimen Pokok Sena tidak menganggap dirinya adalah ‘giant killer’ apabila mengalahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat menyifatkan kejayaan memenangi kerusi terbabit diperolehi adalah hasil keputusan rakyat termasuklah pengundi muda yang menginginkan perubahan di Pokok Sena dan negara.

“Secara peribadi, saya dengan rendah diri melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang mengundi. Keputusan ini adalah keputusan rakyat bukan saya.

“Saya melihat ini adalah keputusan rakyat kerana kita boleh lihat bukan sekadar Pokok Sena, malah boleh dikatakan hampir sebahagian besar Parlimen di seluruh Malaysia ada perubahan yang besar,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan keadaan ini boleh diibaratkan sebagai tsunami apabila mereka mendapat sokongan yang luar biasa daripada pengundi khususnya daripada golongan anak muda.

“Ada pihak menganggap ini Tsunami Tik Tok dalam kalangan anak muda yang luar biasa bagi kita, rupa-rupanya ada gelombang yang kita tidak sedar.

“Saya melihat sebenarnya ini adalah satu isyarat daripada rakyat yang meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya.

Ahmad berpandangan, beliau melihat kemenangan ini sebagai satu gelombang kebangkitan anak muda memandangkan tidak menyangka akan meraih majoriti besar.

“Kita memang jangka boleh menang tetapi bukan dengan jumlah majoriti besar, jadi majoriti ini merupakan satu keajaiban yang ditunjukkan mereka kerana ia dilakukan tanpa sedar,” jelasnya.

Beliau mengakui kemenangan itu merupakan satu cabaran, namun memberi jaminan akan memberi khidmat terbaik kepada rakyat memandangkan memiliki satu pasukan yang kuat.

Ahmad berkata, beliau akan sentiasa berusaha memberi khidmat dan bantuan sebaik mungkin kepada rakyat khususnya di kawasan Pokok Sena.

Ahmad memenangi kerusi Parlimen Pokok Sena apabila meraih 52,275 undi dalam pertembungan empat penjuru dengan Mahfuz yang memperolehi 20,524 undi manakala calon BN, Noran Zamini Jamaluddin (14,523) dan calon Warisan, Noraini Md Salleh (622).