PRU15: BN Johor hanya menang di kerusi tradisi

in Analisis Sinar by

Hasni menang di kerusi Parlimen Simpang Renggam sekali gus menjadi satu-satunya kerusi yang berjaya dirampas BN dari PH pada PRU15 di Johor.

JOHOR BAHRU – BN Johor gagal mencapai sasaran untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya BN Johor hanya memperoleh sembilan kerusi Parlimen yang merupakan kerusi tradisi parti di kawasan luar bandar iaitu Parit Sulong, Ayer Hitam, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong.

Di Parlimen Simpang Renggam, menyaksikan BN merampas kerusi Parlimen itu daripada penyandangnya yang juga bekas Menteri Pendidikan, Dr Maslee Malik (Pakatan Harapan).

Kerusi Parlimen Parit Sulong, Ayer Hitam dan Pengerang pula kekal dimenangi penyandangnya, Datuk Seri Noraini Ahmad, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Datuk Seri Azalina Othman yang sudah memegang kawasan Parlimen masing- masing melebihi tiga penggal.

Parlimen Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong pula masing-masing dimenangi Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Manakala di Parlimen Tenggara dimenangi calon muka baharu, Manndzri Nasib dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencipta kejayaan di Parlimen Kota Tinggi.

Prestasi hambar BN Johor pada PRU15 kali ini, sebenarnya mengulangi sejarah hitam pada PRU14 lalu apabila gabungan itu hanya menang lapan daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen dipertandingkan di negeri itu.

Rekod BN Johor pada PRU14 dan PRU15 telah meleburkan tanggapan negeri ini merupakan kubu kuat BN dan UMNO menerusi kejayaan ketika PRU13 dan sebelum itu.

Pada PRU13, BN Johor cemerlang apabila menang 21 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan meletakkan sasaran kemenangan 20 kerusi Parlimen di Johor yang disifatkan amat penting bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan Persekutuan dominan.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) berjaya mencipta kejutan apabila menang 15 kerusi Parlimen di Johor sekali gus mengulangi kejayaan gabungan itu memenangi 18 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU14 lalu.

Ia termasuk kerusi Parlimen Segamat, Sekijang, Labis, Ledang, Bakri, Sri Gading, Batu Pahat, Kluang dan Tebrau.

Selain itu, PH Johor turut menang di Pasir Gudang, Johor Bahru, Pulai, Iskandar Puteri, Kulai dan Muar yang dimenangi Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Perikatan Nasional (PN) juga membuat kejutan apabila berjaya meraih dua kerusi Parlimen di Johor iaitu Mersing dan Pagoh.

Kemenangan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kerusi Parlimen Pagoh membuktikan ketokohan ikon politik itu berjaya mempertahankan Pagoh sejak 1978.

Selain itu PN turut berjaya merampas kerusi Parlimen Mersing yang sebelum ini dimenangi BN pada PRU14.

Sementara itu, Pengerusi BN dan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad pula menyatakan BN tidak bermula dengan kosong kerana menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selain sudah mempunyai pengundi tegar di negeri ini.

Berdasarkan keputusan PRN Mac lalu, BN Johor berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.