PRU15: Bung Moktar pertahan kubu di Kinabatangan

in Politik by

Bung Moktar

KOTA KINABALU – Datuk Seri Bung Moktar Radin masih mampu mengekalkan kemenangan bergaya di Parlimen Kinabatangan walaupun berdepan dengan pertembungan sengit satu lawan satu bagi perebutan kerusi berkenaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berjaya mempertahankan kubunya menerusi 16,842 undian dengan majoriti sebanyak 4,330 undi.

Ia sekali gus menewaskan pencabarnya dari Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek yang memperoleh 12,512 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Sementara itu, calon BN di Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya menang dengan majoriti tipis iaitu 124 undi daripada jumlah keseluruhan 16,234 undi yang diperolehnya.

Shahelmey telah menewaskan pesaing terdekatnya, Awang Husaini Sahari dari Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi berkenaan menerusi 16,110 undi, calon Warisan, Ahmad Mohd Said (8,511) dan calon Pejuang, Poyne Tudus @ Patrick Payne (394).

Kemenangan itu sekali gus menjadikan kerusi Parlimen Putatan kembali menjadi milik BN selepas ditawan PH pada PRU14 yang lalu.