PRU15: Hasrat Dr Mahathir, Mukhriz tidak kesampaian

in Politik by

Mukhriz dan Dr Mahathir hilang wang deposit setelah memperoleh jumlah undi yang sangat rendah. – Gambar fail
ALOR SETAR – Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz untuk terus mewakili rakyat di negeri kelahiran mereka berakhir apabila gagal mempertahankan kerusi masing-masing atas tiket Pejuang pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Malah, kedua-dua beranak itu juga hilang wang deposit setelah memperoleh jumlah undi yang sangat rendah.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang merupakan perdana menteri keempat dan ketujuh manakala Mukhriz, Presiden Pejuang, pernah menerajui Kedah sebagai Menteri Besar.

Setelah beberapa dekad menabur bakti di negeri Jelapang Padi itu, Mahathir, 97, yang juga calon tertua pada PRU kali ini, menyaksikan kegagalannya menambat hati pengundi di pulau legenda itu apabila hanya memperoleh 4,566 undi.

Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang memperoleh 25,463 undi.

Pada masa sama, Mukhriz turut kecundang di Parlimen Jerlun dengan hanya mendapat 3,144 undi setelah ditewaskan Yang Dipertua Pas Jerlun Dr Abd Ghani Ahmad.

PN yang ditunjangi Pas dan Bersatu menguasai majoriti kerusi Parlimen di Kedah apabila memenangi 13 daripada 14 kerusi yang dipertandingkan pada PRU15.

Gabungan itu tewas tipis di Sungai Petani, manakala satu lagi kerusi iaitu Padang Serai, proses pengundian ditangguhkan berikutan kematian seorang calon.

PN berjaya menawan beberapa kerusi yang dianggap sukar termasuk Langkawi, Jerlun, Pokok Sena, Padang Terap dan Kulim Bandar Baharu.

Selain Mukhriz, calon PN itu juga berjaya mengetepikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Othman Aziz.

Dr Abd Ghani memperoleh 31,685 undi manakala Othman 11,229 undi.

Kerusi Parlimen Padang Terap yang disandang Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid juga dirampas PN menerusi Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid yang memperoleh 28,217 undi berbanding Naib Presiden UMNO itu yang mendapat 17,258 undi.

Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar juga menjadi mangsa PN apabila tewas di kerusi Pokok Sena kepada Ketua Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Ahmad Yahaya dengan majoriti 31,751 undi.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu yang disandangnya selepas tewas kepada calon PN Roslan Hashim dengan majoriti 13,061 undi.

Selain itu, PN turut menguasai Parlimen Baling, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah, Pendang, Jerai, Sik dan Merbok. – Bernama.